SYARAT-SYARAT & TERMA-TERMA TAMBAHAN KEMBARA SUFI TRAVEL & TOURS SDN BHD

Anda adalah dinasihatkan supaya membaca dengan teliti syarat-syarat dan terma-terma tambahan ini sebelum bersetuju untuk melanggani pakej umrah atau percutian Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd. Syarat-syarat dan terma-terma ini adalah tambahan kepada peruntukan terma dan syarat di dalam Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992. Ianya tidak mengurangkan kuatkuasa peruntukan Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992 dan di mana terdapat sebarang percanggahan, terma dan syarat di dalam Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992 adalah terpakai. Sebaik sahaja anda membayar deposit dan/atau menandatangani persetujuan untuk melanggani pakej umrah atau percutian Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd, anda telah terikat melalui kontrak dengan pihak Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd dan dianggap telah membaca dan bersetuju dengan semua syarat-syarat dan terma-terma tambahan ini.

KETEPATAN BUTIRAN ATAU MAKLUMAT PERIBADI SEMASA PENEMPAHAN PAKEJ

Semasa penempahan pakej, semua butiran yang anda beri kepada Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd adalah maklumat yang akan digunapakai oleh syarikat bagi menyempurnakan pakej yang anda langgani. Anda dikehendaki menyemak semula butiran/ maklumat peribadi sendiri sebelum membuat pembayaran deposit dan sekiranya tiada pembetulan dibuat, semua maklumat diberi adalah dianggap benar dan muktamad. Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd tidak boleh dipertanggungjawabkan bagi sebarang kejadian atau masalah yang timbul akibat dari kesilapan butiran atau maklumat peribadi yang anda beri.

Anda adalah bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengisytiharkan tahap kesihatan anda sebelum membuat pembayaran deposit. Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd berhak untuk menolak tempahan anda sekiranya tahap kesihatan anda didapati membahayakan kesihatan dan keselamatan diri sendiri atau mengurangkan keselesaan atau keseronokan anggota lain di dalam kumpulan pelancongan anda. Sekiranya anda memerlukan bantuan disebabkan oleh tahap kesihatan anda, anda diwajibkan membawa ahli keluarga lain untuk membantu anda sepanjang perjalanan dan membawa sendiri peralatan bantuan seperti kerusi roda dan ubat-ubatan sendiri. Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk menjaga anda secara peribadi atau memberikan ubat-ubatan sekiranya anda sakit. Sekiranya keadaan anda memerlukan penjagaan secara peribadi, Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd berhak mengenakan bayaran tambahan kepada anda bagi mengupah pihak ketiga untuk menjaga anda.

PENGESAHAN MAKLUMAT SERTA BUTIRAN PAKEJ YANG BETUL

Anda dikehendaki menyemak maklumat mengenai pakej yang ditempah sebelum membuat pembayaran deposit termasuk tetapi tidak terhad kepada harga pakej, tarikh penerbangan pergi dan balik dan waktu berlepas dan ketibaan, pakej yang dipilih termasuk hotel penginapan dan jenis bilik yang dipilih dan lain-lain maklumat seperti yang tertera pada resit pembayaran dan/atau surat pengesahan. Anda adalah dianggap telah bersetuju dengan semua maklumat di dalam resit atau surat pengesahan dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang risiko atau kos tambahan pada pakej anda sekiranya anda gagal melaporkan sebarang kesilapan atau peninggalan di dalam butiran pakej anda dalam tempoh 24jam dari tarikh resit atau surat pengesahan dikeluarkan.

INSURANS

Anda boleh membuat insuran untuk keselamatan perjalanan anda dengan insuran yang anda pilih. Atau anda boleh membuat insuran dengan pihak kami.

PEMBAYARAN PAKEJ

Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd hanya menerima pembayaran secara tunai, deraf bank atau cek persendirian. Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd berhak menahan penempahan pakej anda sehingga penunaian bayaran deposit melalui deraf bank atau cek persendirian anda. Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd tidak bertanggungjawab sekiranya pakej yang anda tempah telah habis dijual akibat kelewatan penunaian deraf bank atau cek persendirian anda. Bagi pembayaran pakej yang kurang dari 7 hari bekerja sebelum tarikh penerbangan, Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd berhak untuk menolak pembayaran secara cek persendirian dan sekiranya tiada pembayaran pakej secara tunai dibuat, boleh mengakibatkan pakej anda terbatal secara automatik dan mana-mana bayaran pakej yang telah dibayar dilucut hak mengikut Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992, tetapi sekiranya anda memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak kami, kami akan mempertimbangkan permohonan.

TIKET PENERBANGAN

Pakej anda adalah termasuk tiket penerbangan dari KLIA/KLIA 2 ke destinasi yang dituju sahaja tetapi tidak termasuk tiket penerbangan domestik ke KLIA/KLIA 2. Walaupun surat pengesahan berserta jadual penerbangan anda telah dicetak, jadual tersebut masih tertakluk kepada pindaan oleh syarikat penerbangan. Oleh yang demikian, sekiranya berlaku sebarang perubahan atau pindaan jadual penerbangan, Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd tidak
boleh dipertanggungjawabkan untuk menanggung sebarang ganti rugi termasuk tetapi tidak terhad kepada mengganti rugi bayaran perubahan tiket domestik, hotel tambahan atau lain-lain kesusahan akibat dari pindaan tersebut. Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan ganti rugi, yang timbul akibat dari pertukaran jadual, kelewatan, pembatalan, missed connection, masalah mekanikal, cuaca buruk, penyusunan semula tempat duduk di dalam penerbangan, kehilangan/ kelewatan bagasi, kelewatan pemeriksaan imigresen dan/atau penolakan menaiki penerbangan oleh syarikat penerbangan.

PEMBATALAN PAKEJ YANG DIAMBIL

Sekiranya anda ingin membuat sebarang pembatalan bagi pakej yang telah ditempah, berikut merupakan maklumat caj yang akan dikenakan :-

PEMBATALAN DITERIMA                                           CAJ PEMBATALAN

100 hari sebelum trip dan keatas                                        RM500/seorang

90 hari sebelum trip dan keatas                                          30% dari harga pakej

60 hari sebelum trip dan keatas                                          50% dari harga pakej

45 hari sebelum trip dan keatas                                          100% dari harga pakej

Caj pembatalan diatas tidak termaktub sekiranya tiket penerbangan bagi pakej yang diambil telah dibeli oleh pihak kami. Tetapi, anda perlu menanggung kos nilai tiket tersebut 100% beserta tambahan penalti sebanyak RM500 seorang.