Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Blog Page

CATATAN 2 : UMRAH KEMBARA MATA HATI. (Belajar dari Firaun)

Alhamdulillah selepas solat berjemaah Jamak Qasar Maghrib dan Isyak di Concorde Hotel serta sembahyang sunat musafir, semua anggota rombongan Umrah Kembara Mata Hati akhirnya di bawa ke KLIA dengan menaiki bas. Semua wajah menyerlahkan keghairahan, semangat dan keceriaan. Alhamdulillah, saya dapat rasakan kursus setengah hari yang telah dijalani oleh semua anggota rombongan telah mencapai sasarannya.

FIRAUN

Sudah ada pengisian ilmu, jiwa dan perasaan di samping persiapan fizikal dan harta untuk misi umrah kali ini. Insya-Allah. Dalam kursus pendek itu, peserta tidak sahaja didedahkan soal teknikal dan mekanikal umrah – rukun, syarat dan sunat-sunatnya, tetapi yang penting ialah penitipan roh umrah itu sebagai mekanisme (proses) membentuk akhlak dan peribadi. Sekarang, saya kira sudah ada” mind set” yang betul untuk menjalani umrah yang bukan sekadar sah tetapi mabrur (makbul) yakni berkesan untuk mengubah perilaku. Amin.

Bayangkan, selama dua minggu akan datang kami akan “melihat” banyak perkara. Kami mesti melihat dengan tepat dan betul (tentunya mengikut pandangan mata hati – rujuk tulisan saya tentang pandangan Mata Hati, insya-Allah… sedikit masa lagi). Ini penting kerana “what you see is what you get” – ibrah, hikmah dan pengajaran yang bakal diraih dalam musafir ini bergantung pada bagaimana kami “melihat” objek, situasi, manusia, keadaan dan apa sahaja insiden sepanjang perjalanan ini. Sekiranya, silap cara melihat, maka “silap” jugalah apa yang kami dapat.

Semua itu bermula dengan meletakkan posisi diri kita dengan betul di sisi Ilahi. Siapa diri kita yang sebenar – who you are? Ini kerana “who you are determines how you see” – siapa diri kita menentukan bagaimana kita melihat sesuatu. Bila kita letakkan diri kita sebagai hamba (bukan tuan apalagi “Tuhan” dalam hidup ini), maka itulah nanti yang menentukan apa yang bakal kami lihat dan dapat dalam umrah ini. Justeru, umrah ini dinamakan Umrah Kembara Mata Hati – mengembara dengan pandangan mata hati, melihat yang tersirat daripada yang tersurat.  

Perjalanan dua puluh minit itu juga terisi dengan tarbiah melalui pengertian doa musafir yang disampaikan oleh ustaz Mohd Nasib. Doa bukan sekadar “memberitahu” atau memohon apa yang kita inginkan kepada Tuhan, tetapi doa hakikatnya mempamerkan sifat kehambaan (miskin, jahil, lemah serta tidak berdayanya) kita di hadapan Allah. Siapa yang tidak berdoa sebenarnya telah sombong dengan Allah. Semoga dengan mengaku lemah di sisi Allah, kita akan diperkuatkan oleh Allah SWT.

Saya duduk di belakang sekali, maklumlah “orang bujang”. Pergi secara solo, tanpa anak dan isteri. Isteri terpaksa menguruskan cucu pertama kami dan minta benar-benar agar saya menjadi pendahulu dalam memandu dan memimpinnya ke sana nanti, Insya-Allah.

Kami akan berlepas ke Cairo dengan singgah di Mumbai (kapal terbang mengisi minyak dan penumpang), sebelum ke Kaherah. Dalam hati masih tertanya-tanya apa hikmahnya singgah di Kaherah? Pada hal hati ingin terus sahaja ke Makkah atau Madinah… Jam 11.45 malam, kapal terbang jenis Airbus itu pun berlepas. Dalam dengus enjin bersama bisikan doa perjalanan, ayat manzil dan 4 Qul serta bacaan ayat-ayat suci yang lain… ia membelah awan membawa bersama segala harapan dan impian. Ya, Allah, berkatilah musafir ini dengan tercapai maksud-maksud baik yang diniatkan di dalam hati.

Ditakdirkan duduk di sebelah saya ialah Dato’ Mokhtaruddin (Hakim Mahkamah Tinggi Negeri Melaka) – salah seorang anggota rombongan kami. (Insya-Allah, nanti akan saya perkenalkan semua anggota rombongan Umrah Kembara Mata hati ini). Sebenarnya saya “terlepas” majlis ta’ruf yang telah dijalankan pada pagi tadi. Jadi, saya belum mengenali sesiapapun anggota rombongan yang lain secara terperinci.

Apa pun Dato’ nampak “cool”, mesra… tetapi sudah sedia melelapkan mata. Keletihan mungkin. Tetapi saya sebaliknya. Memang sukar untuk tidur (dan lebih sukar kalau “buat-buat” tidur). Kesukaran untuk tidur itu (memang jadi kebiasaan saya) cuba saya manfaatkan mengikut pesan mutawwif kami – banyakkan solat hajat, taubat dan istikharah sepanjang penerbangan. Berterusan saya doakan ibu-bapa yang tercinta, sahabat-sahabat dan keluarga. Semoga mereka semua bahagia dunia dan akhirat. Sengaja saya tidak mahu sesiapapun menghantar ke Lapangan Terbang… tidak mahu diusik sebarang kenangan. Terus bergerak, jangan pandang belakang!

Alhamdulillah, selepas solat Subuh dan setelah beberapa jam meninggalkan Mumbai, pengumuman dibuat yang kapal terbang akan mendarat tidak berapa lama lagi. Semua terjaga. Keadaan gelap sudah cerah. Sudah siang. Ya, “Kaherah” sudah kelihatan. Tetapi saya berasa sedikit aneh mengapa Kaherah begitu gondol, gersang, hampir tidak ada sebarang pokok atau tumbuhan… terlalu polos. Mungkin, keadaan sudah berubah sejak 15 tahun yang lalu ketika pertama kali menjejak kaki ke sini. Begitu fikir saya.

Terkejut! Rupanya kami bukan mendarat di Kaherah tetapi di Riyad! Bagaimana boleh jadi begitu? Rupa-rupanya kapal terbang terpaksa berpatah ke belakang dan terpaksa mendarat di Riyad kerana seorang penumpang jatuh sakit. Dengan khabarnya terlalu serius dan doktor (dari Malaysia) yang kebetulan berada dalam penerbangan itu dibawa berunding oleh pilot dan akhirnya keputusan dibuat, mendarat segera.

Perjalanan terpaksa ditambah 3 jam lagi. Begitulah aturan Allah, tentu ada hikmah. Lebih 15 jam di perut kapal terbang. Semua sudah keletihan. Walaupun kelihatan, saya bersyukur, “aerophobia” saya hampir tidak terasa. Kami mendapat “layanan istimewa” di Airport Kaherah sebaik mendarat jam 10.45 pagi. Oleh sebab kebimbangan jangkitan H1N1, lebih-lebih lagi oleh kes pesakit yang terpaksa ditinggalkan di Riyad, kami mendapat laluan khas dengan disertai pemeriksaan khusus oleh alat pengimbas demam. Seorang demi seorang “discan”. Bimbang juga kalau-kalau ada yang sangkut dan kami terpaksa “dikuarintin”. Jika terjadi begitu, tentu cita-cita tergendala.

Namun, alhamdulilah. Kami selamat. Dan akhirnya dapat menghirup udara Mesir, negara yang disebut-sebut dalam Al Quran. Bumi tempat gelanggang perjuangan Rasul, nabi, ulama, auliya’ dan mujahid. Sebut sahaja Mesir terbayang kegigihan dan keberanian insan mulia dan perkasa,  nabi Musa AS, kebijaksanaan dan kecantikan nabi Yusuf AS, ketabahan Ya’kub, keilmuan Imam Safie rhm, kewalian Sayidah Nafisah, Ibn Ataillah dan mujahid seperti Hasan Al Banna, Syed Qutb dan lain-lain. Namun terbayang juga para penzalim seperti Firaun, Haman, King Farouk, Jamal Abdul Nasir dan lain-lain.

Mesir, negara – musibah (mim), sabar (shad) dan redha (ro’) – hidup dengan satu kurniaan Allah, yakni sungai Nil. Pelajar Malaysia, ustaz Fadhil – kelahiran Pahang, yang menjadi pemandu pelancong kami bercerita dan berkisah dengan sungguh ghairah. Anak muda berbakat itu boleh “pergi jauh” kalau dilatih dan dipertajamkan skill komunikasi dan penyampaiannya – raut wajahnya yang mesra dan manis membuatkan kami senang bersamanya. Dia “masak” sungguh tentang Kaherah dan kerenah masyarakatnya.

Ketika itu di Kaherah, suasana meriah sekali. Di samping musim panas, Presiden US, Barack Obama dijadual melawat Kaherah dalam waktu terdekat. Semua jalan dijaga dengan ketat. Menurutnya, anggota keselamatan yang beruniform atau tidak, berkawal lebih ramai daripada biasa. Mesir memang negara “tentera”. Selain presidennya (Mubarak) seorang bekas tentera, belanjawan negaranya juga banyak difokuskan kepada alat kelengkapan ketenteraan. Ustaz Fadil sempat menceritakan kehebatan tentera Islam Mesir dalam perang Oktober 1974 (yang jika tidak diancam Amerika) Mesir boleh menerobos hingga ke Israel.

Ini mengimbau bacaan saya tentang sejarah lampau bagaimana keruntuhan kubu terkuat israel di terusan Suez – Kubu Bar Lev. Bagaimana pejuang Islam sejati, berjaya meruntuhkannya dengan idea biasa tetapi sangat luar bisa – menggunakan aliran air. Setelah “sarapan tengahari” di Rumah Malaysia kami terus dibawa melawat Giza – tempat Piramid dan Spinx.

Saya melihat sahaja piramid dari jauh. Apa yang boleh saya pelajari daripadanya? Tekonologi? Senibina? Itu biasa diperkatakan. Sudah menjadi kajian ribuan sarjana dalam arkeologi dan psikologi kemanusiaan. Terlalu banyak yang telah ditulis. Ya, saya teringat kata-kata yang telah saya nukilkan dalam buku Nota Hati seorang Lelaki. Jika kita merendah diri kita boleh belajar bukan sahaja daripada orang yang bijak dan baik, tetapi juga daripada orang yang bodoh dan jahat! Apatah lagi nama Firaun kerap disebut dalam Al Quran. Tentu banyak yang kita mesti pelajari darinya, masakan Allah meletakkan sesuatu yang titik bengik dalam kitab-Nya yang begitu mulia.

Apa yang saya boleh pelajari daripada Firaun dan piramidnya? Ya, sejahat-jahat Firaun pun dia tetap ada “Sense of the End” ( percaya kepada Hari Akhirat). Dia yakin akan adanya kehidupan selepas mati. Bukan sahaja percaya, bahkan dia membuat persediaan untuk menghadapi Hari Akhirat. Justeru, dia menyimpan harta, pakaian, binatang dan lain-lain alat keperluannya, yang turut ditanam bersama jasadnya di dalam piramid. Itulah persediaan Firaun menghadapi kehidupan selepas matinya.

Kata orang, siapa yang tidak buat “persediaan (preparetion)” untuk melaksanakan satu tugasan, maka dia terpaksa buat banyak “pembetulan (correction)” kemudiannya. Firaun tidak mahu ini berlaku. Dia tidak mahu membuat pembetulan di alam SANA. Namun, tanpa panduan wahyu, ditambah sikap takburnya… segala harta dan persediaannya tidak berguna sedikit pun. Ironinya, Firaun yang membina piramid sekeras waja, mati dek air yang selembut sutera. “Teknologi” sihir akhirnya tersembam di telapak kebersihan hati nurani.

Belum pun sampai hari akhirat sebahagian besar harta simpanannya telah dirompak dan sebahagian yang lain telah dipamerkan dalam muzium. Tidak ada lagi “pembetulan” lagi yang mampu dilakukan oleh Firaun di alam Barzakh. Dia melepaskan peluang untuk membuat pembetulan apabila menolak dakwah Nabi Musa AS dan adiknya Nabi Harun AS.

Walau bagaimana pun sejahat-jahat Firaun, kita masih boleh belajar daripadanya. Tentang keyakinannya terhadap hidup selepas mati dan persediaan menghadapinya (walaupun tersalah). Kita yang “kononnya” lebih baik daripadanya, mana bukti keyakinan kita? Apa persediaan kita?

Yakin sungguh Firaun tentang adanya kehidupan selepas mati. Betapa banyak “pelaburannya” untuk membina piramid? Mengapa tidak dihabiskan sahaja segala harta untuk “enjoy” semasa hidup? Mengapa Firaun juga memikirkan kematian? Hari akhirat? Itulah iktibar kecil daripada Firaun dan piramidnya – insan jahat yang masih yakinkan akhirat.

Kita? Mana solat, puasa, amal jariah, jihad, akhlak dan ibadah kita untuk persediaan hari akhirat? Begitu saya ditumbuk oleh satu tempelakan di kepanasan mentari tengah hari itu. Ketika pelancong Barat datang berbondong-bondong untuk menikmati nilai “estatik”, malah saintis mereka datang mengutip data dan fakta saintifik, kita (umat Islam) datang untuk mengutip apa? Apa yang kita lihat secara terirat di sebalik yang tersurat ini? Tentu, Allah ada tujuan “menghantar” saya (dan umat Islam yang lain) datang ke tepi piramid ini. Dan tujuan itu tentulah tidak sia-sia atau “saja-saja”.

Saya tidak akan mengulangi penulisan tentang kebesaran dan keanehan piramid, semuanya sedia maklum. Namun kekadang kita terlupa, ketika kita kagum dengan piramid yang dibina oleh berjuta-juta tan batu itu dengan hanya satu tiang, kita terlupa kehebatan penciptaan langit yang jauh lebih hebat dan besar tanpa sebatang tiang pun! Subhanallah. Langit dibina oleh Allah penuh kasih sayang, memayungi, meliputi dan menitiskan air hujan sebagai sumber kehidupan tetapi piramid sebaliknya… dibina oleh Firaun dengan air mata, darah dan penindasan sesama manusia! (Insya-Allah akan menyusul tulisan saya nanti – Piramid vs Kaabah).

Terlalu letih dan mengantuk, bayangkan daripada KLIA tadi terus menerus berjaga merentasi waktu hingga terdampar di tepi piramid ini. Alhamdulillah setelah menukar sedikit mata wang dari dollar US ke Junaih (sebagai bekalan jika ada apa-apa kecemasan), kami semua tiba di hotel menjelang waktu Asar. Jamak Qasar takhir dan berehat sebentar di lobi hotel Cairo Khan . Urusan penetapan bilik agak mengambil masa. Bayangkan jumlah beg yang dibawa oleh 48 anggota rombongan dan kapasiti lif yang begitu sempit. Namun, alhamdulillah itu pun sudah dikira sangat baik.

Malam kami dibawa keluar menikmati makanan “nasi mandi” ala Yaman – Nasi berwarna kuning berkilat yang seakan-akan Nasi Briyani dengan ayam bakar. Terlalu banyak dihidangkan dalam pinggan besar untuk seorang – semuanya ikut kapasiti orang Arab. Ramai juga yang makan dalam keadaan mengantuk kepada jam menjelang pukul 9 malam (yakni kira-kira jam 2 pagi waktu Malaysia).

Balik terus tidur dan terjaga kemudiannya pada jam 4 pagi dan terus bersiap ke masjid berdekatan dengan berjalan kaki, menyelinap di celah-celah bangunan. Musim panas di Kaherah menghadiahkan saat yang paling santai untuk warganya aktif sepanjang malam hingga ke Subuh. Kedai-kedai membeli belah, kebab, syisa (menghisap paip dengan bantuan pam air) terus dibuka dan orang-orang dewasa, kanak-kanak masih sibuk ke hulu ke hilir.

Sayu sekali sembahyang di masjid yang terlalu sederhana – hanya tersepit dicelah-celah bangunan. Namun jelas yang datang berjemaah penuh kesungguhan – membaca Quran dan berwirid. Suara imam serak-serak basah pagi itu, merdu dan menyentuh. Entah mengapa air mata mengalir lagi pagi itu… Ya, Allah inilah saudara-saudara Islamku yang tidak pernah aku ziarahi. Iman dalam dada mereka dan aku serupa… kita bersaudara!

Subuh itu saya merintih lagi (Insya-Allah semoga saya tidak letih untuk terus merintih)… saya nukilkan di atas buku catatan bersama linangan air mata:

Ya Allah, aku mencari hati yang indah
Untuk ku serahkan kepada Mu
Tapi apakan daya
Hati yang ada…
Hati yang ini, masih tercela

 

Ya Allah, ajar aku untuk meminta yang terbaik dari Mu
Ilmu ku terbatas,
ilmu Mu Maha luas
Dalam batas itulah aku meminta..
Mungkin aku terbabas

 

Tanamkan ke dalam hati ku hakikat kewujudan MU,
Keperkasaan Mu…
Jauhilah aku riyak dan ujub
Yang menjauhkan aku dari terdekat
Dan memutuskan aku dari yang jauh
Amin..

 

Ya Allah,
Ajarkan aku bagaimana untuk mengasihi manusia!

Seusai solat, sempat saya menemui imam yang masih tafakur di mihrab yang serba sederhana. Bersalaman, tanpa bicara kata. Hanya senyuman penghantar rasa. Dia bertanya dalam bahawa Arab, (entah apa) tetapi saya hanya mengagak dan menjawab (mudah-mudahan tepat), “…ana min Malaysia, umrah, umrah. Imam doa…” Alhamdulillah dia faham. Dia berdoa, saya mengaminkan lantas berkata, “insya-Allah makbul!” Kami bersalaman dan bermuannaqah (berpelukan). Teringat Imam Masjid Manjalara yang saya temui seusai solat Subuh sehari sebelum memulakan perjalanan temph hari. Kebetulan, doa mereka berdua sama!

Keluar dari masjid, kami bertujuh singgah di kedai Teh. Syai Nak-nak (teh berdaun pudina) itu sungguh segar di hidup di kedinginan Subuh itu. Di warung tepi jalan itu, hakim, peguam, ahli perniagaan, pekerja biasa, peladang, penulis mahupun ustaz begitu mesra menikmati teh diserikan oleh keharuman ukhwah! Kami makin akrab, insya-Allah tujuan yang satu akan menyatukan kami. Insya-Allah.

Di warung Teh, di celah jalan-jalan berdebu di kota Kaherah kami begitu ceria bersama. Di sini tidak ada gelar hartawan dan jawatan lagi, siapa sahaja layak menjadi tetamu Allah dan Rasul-Nya, tidak kira dia seorang raja atau hamba sahaya!

Ya, mudah-mudahan setiap kami mampu mengikis hati warisan Firaun yang angkuh dan sombong, sebelum memulakan langkah ke Makkah dan Madinah, tempat leluhurnya solehin dan bermukimnya insan-insan yang mencari kemuliaan… hanya sebagai hamba… hamba  Allah! Amin.

Sumber: http://genta-rasa.com/2009/06/22/catatan-2-umrah-kembara-mata-hati-belajar-dari-firaun/

 
 
You are here: Home Blog CATATAN 2 : UMRAH KEMBARA MATA HATI. (Belajar dari Firaun)