HIDANGAN TRADISI MASYARAKAT SABAH

“If more of us valued food and cheer and song above hoarded gold, it would be a merrier world.” – J.R.R. Tolkien.

Setiap negeri di Malaysia mempunyai keistimewaan makanan yang tersendiri. Begitu juga dengan Sabah. Sabah merupakan antara negeri yang menjadi tarikan pelancong di negara kita. Selalunya kita terbiasa mencuba makanan tradisi di negeri Semenanjung Malaysia, apa kata kali ini anda tukar selera untuk mencuba makanan tradisi Sabah pula?

Berikut merupakan beberapa makanan tradisi Sabah yang wajib anda cuba apabila melancong ke sana. Semestinya halal dan enak, pilih sahaja mana-mana menu yang berkenan di hati untuk dicuba.

HINAVA

Hinava merupakan antara makanan tadisional yang tekenal bagi suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Hidangan ini terdiri daripada isi ikan segar yang dicampur dengan bawang merah, halia, cili merah, biji buah bambangan yang telah diparut, limau dan garam. Isi udang dan sotong juga boleh digunakan bagi menggantikan ikan untuk hidangan ini. Ikan tidak dimasak dengan api, tetapi menggunakan asid dari jus limau. Jadi pada asasnya, Hinava adalah ikan mentah, tetapi dimasak dengan cara yang menjadikannya selamat untuk dimakan.

LATOK

Latok adalah makanan tradisi masyarakat Bajau dari pantai timur Sabah. Ia merupakan rumpai laut dan adakalanya dipanggil ‘anggur laut’ kerana bentuk dan warnanya yang hijau seakan-akan buah anggur. Hidangan ini biasanya dimakan sebagai salad atau hidangan sampingan dicampur dengan cili merah atau cili padi, limau dan sambal belacan. Sebaik sahaja dihidangkan, latok hendaklah segera dimakan kerana jika dibiarkan dalam tempoh yang agak lama, latok akan menjadi cair. Ulam latok yang masih segar akan terasa kerangupannya ketika dikunyah.

TUHAU

Tuhau merupakan makanan tradisi suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Ianya sebenarnya sejenis jeruk yang diperbuat daripada pokok tuhau, sejenis halia liar. Tuhau biasanya dihidangkan dengan memotongnya menjadi hirisan nipis dan kemudian digaulkan dengan cili, garam dan cuka. Aroma tuhau ini sememangnya kuat, bergantung kepada empunya badan sama ada anda boleh menahan baunya atau tidak. Namun, khasiat yang terdapat pada hidangan yang selalunya dijadikan pembuka selera ini memang tinggi.

PINASAKAN

Pinasakan atau Pinasakan Sada ialah makanan tradisi Sabah yang cukup terkenal di kalangan suku kaum Kadazan-Dusun. ‘Sada’ di sini bermaksud ikan, jadi Pinasakan ini selalunya dihidangkan bersama ikan Basung. Ikan tersebut akan direbus. Kemudian, kunyit, takob-takob, garam dan buah bambangan ditambah bagi melengkapkan rasa. Hidangan ini enak dimakan dengan nasi putih dan sambal.

NOONSOM

Noonsom merupakan sejenis merupakan salah satu hidangan tradisional istimewa bagi kaum Kadazan-Dusun Sabah atau lebih dikenali sebagai jeruk. Terdapat beberapa jenis Noonsom dalam masakan Kadazandusun, antara yang paling popular ialah Noonsom Sada (Ikan), Noonsom Bambangan (buah) dan Noonsom Tuhau (ulam). Cara penyediannya lebih kurang jeruk biasa yang menggunakan cuka, garam dan cili merah. Kesemua bahan tersebut akan dicampur dan diisi ke dalam bekas botol dan biarkan selama sepuluh atau dua belas hari sebelum dihidangkan.

LINOPOT

Linopot ialah nasi yang dibungkus didalam sejenis daun yang dipanggil tarap dan dimasak dengan yam atau sweet potato. Linopot biasanya disajikan semasa musim perayaan atau upacara pernikahan tradisional Sabahan.

SELAMAT MENCUBA DAN SELAMAT MENJAMU SELERA!