TIPS MELANCONG BERSAMA PASANGAN

Ramai di antara anda mungkin telah mengembara secara solo atau berkumpulan, tetapi bukan bersama pasangan. Melancong bersama pasangan anda buat kali pertama memang suatu perasaan yang menerujakan. Maklumlah ini merupakan pengalaman pertama untuk mencipta kenangan bersama, mestilah perlu sempurna tanpa kegagalan agar mood melancong tersebut tidak rosak, malah dapat mengeratkan lagi hubungan serta persefahaman anda terhadap pasangan masing-masing. Berikut merupakan beberapa tips yang boleh dijadikan panduan untuk anda melancong bersama pasangan.

  • PERTIMBANGKAN CITARASA PILIHAN PERCUTIAN

Sangat penting untuk menyuarakan pendapat anda dan membuat rancangan yang dipersetujui kedua pihak. Berkongsi idea memberikan ruang untuk anda saling memahami kehendak masing-masing. Jika anda dan pasangan mempunyai citarasa percutian yang sama itu adalah memudahkan, tetapi jika tidak, pastikan anda bertolak ansur dengan memasukkan kedua-dua idea dalam percutian tersebut, baik dari pihak anda mahupun pasangan agar tiada siapa yang akan berasa kecewa. Jika ada perkara yang anda atau pasangan tidak suka pastikan masing-masing mampu bertoleransi dan selesaikan masalah tersebut sebelum anda berangkat pergi melancong.

  • PERBELANJAAN SEWAKTU MELANCONG

Banyak perselisihan faham berlaku berpunca daripada kewangan sewaktu anda dan pasangan melancong. Anda harus bersedia kerana banyak perbelanjaan yang tidak dijangka mungkin berlaku semasa anda bercuti seperti makanan tambahan, penginapan, bayaran aktiviti tambahan, cenderamata atau mungkin anda sakit dan perlu dimasukkan ke dalam hospital. Bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, penting untuk anda mengetepikan sedikit wang perbelanjaan untuk digunakan ketika kecemasan. Anda juga harus peka dengan batasan pasangan anda untuk berbelanja. Anda boleh membuat rekod perbelanjaan setiap kali anda membuat transaksi duit.

  • SMART PACKING

Sebelum anda mengemas barang-barang yang perlu dibawa, fikirkan barang apa yang boleh anda kongsikan agar tidak terbawa barangan yang sama. Sebagai contoh, satu set alat pertolongan cemas dan set toiletries seperti syampoo dan ubat gigi. Walaupun set toiletries ada disediakan jika anda menginap di hotel, tetapi anda juga boleh membawanya sendiri kerana sudah semestinya barangan yang dibawa sendiri adalah halal bagi yang beragama Islam. Barangan eletronik seperti pengecas telefon bimbit juga boleh dikongsi sekiranya anda dan pasangan menggunakan jenama telefon yang sama. Dengan cara ini, ia dapat menjimatkan ruang beg masing-masing. Bolehlah anda isikan cenderamata yang bakal dibeli ketika melancong nanti!

  • HADKAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI

Media sosial kini menjadi sebahagian utama rutin harian kita. Sentiasa mahu update dimana kita berada dan apa yang sedang dilakukan. Pasangan duduk bersama tetapi seolah berada di dalam dunia sendiri kerana masing-masing menghadap smartphone melayan Instagram, Twitter ataupun Facebook. Ini tidak bermakna anda tidak boleh mengambil sebarang foto sama sekali. Penting untuk anda dan pasangan bergambar untuk diabadikan sebagai kenangan. Jadi, hadkan penggunaan teknologi agar ia tidak mengganggu percutian anda.

  • MENCUBA BENDA BAHARU

Percutian yang paling menggembirakan ialah apabila anda dapat menikmati semua pengalaman yang menakjubkan bersama orang yang anda suka. Melakukan perkara yang mungkin tidak pernah anda fikirkan, ia dapat membantu anda dan pasangan keluar dari zon selesa dan memberi inspirasi kepada satu sama lain untuk mencuba perkara-perkara baru. Contohnya, pasangan anda fobia dengan ketinggian. Bawa dia mencuba aktiviti seperti indoor skydiving atau paragliding untuk mengatasi ketakutannya. Selain dapat menikmati pemandangan, hubungan anda dan pasangan akan bertambah erat kerana saling memerhati dan mengambil berat antara satu sama lain.

  • PEKA TERHADAP BUDAYA NEGARA LAIN

Di sesetengah negara, berpengangan tangan atau bersikap romantik di khalayak ramai merupakan perbuatan yang tidak senonoh. Anda perlu membuat sedikit research tentang destinasi percutian anda, mungkin dari segi etika berpakaian dan cara berinteraksi dengan pasangan agar tidak dituduh dengan perbuatan merosakkan budaya negara tersebut.

  • NIKMATI KESERONOKAN

Kenapa melancong jika bukan untuk menikmati keseronokan pecutian? Tiada pasangan yang sempurna dan tidak ada pasangan yang benar-benar tahu bagaimana cintanya mereka antara satu sama lain sehinggalah mereka melalui beberapa cabaran bersama. Kadang-kadang mungkin anda rasa tertekan kerana membandingkan percutian anda dengan orang lain ketika membaca itenary mereka di internet. Ingat! Ini adalah percutian anda. Tempuhi dan nikmatinya dengan cara anda.

 

Kita hanya mampu merancang, tuhan yang menentukan. Hargailah setiap saat anda bersama-sama, baik dan buruk, kerana percutian banyak mengajar anda dan pasangan untuk berurusan dengan apa saja bersama dan berkongsi pengalaman yang luar biasa.❤☺